Banyakkanlah selawat, engkau akan dapat syafaat Rasulullah
Berkawanlah dengan orang-orang yang soleh, mereka juga boleh memberi syafaat
Carilah mursyid, bergurulah dengannya, dia juga boleh memberi syafaat dengan izin Allah
Beradalah di dalam jemaah di kalangan mereka yang soleh, juga dapat keizinan memberi syafaat
Ibu bapa yang soleh juga diizinkan memberi syafaat, taatilah keduanya
Di kalangan keluarga yang bertaqwa juga boleh memberi syafaat
Amal kebaikan yang dipandang besar yang sangat ikhlas juga memberi syafaat
Di kalangan kawan-kawan yang soleh juga memberi syafaat sebagai memberi kehormatan kepadanya
Takut sangat dengan Allah Taala juga memberi syafaat kepada tuannya
Al Quran yang dihafal juga memberi syafaat kepada yang menghafal
Di sini fahamlah kita saluran syafaat terlalu banyak dan luas
Ini menunjukkan kasih sayang Tuhan dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya terlalu besarnya
Oleh itu carilah sebab-sebab yang boleh mendatangkan syafaat
Pelbagailah usaha untuk mendapatkan syafaat
Ini baru fasal syafaat telah memberi khabar gembira kepada kita
Ini belum lagi amalan-amalan yang lain yang boleh menyelamatkan seseorang hamba
Betapalah taqwa seseorang lebih-lebih lagi akan menyelamatkannya
Orang Yang Ada Prinsip Hidup
Menjelang tidur
21.12.99 (13 Ramadhan)
Orang yang ada prinsip hidup itu adalah orang yang beragama
Kerana mempertahankan prinsip, dia tidak berubah mengikut suasana
Dia kayakah atau miskin, sikapnya sama
Bertemu orang besar atau orang kecil, amalan kebiasaannya tetap dipertahankan
Bagaimana sibuk sekalipun, amal ibadahnya tidak akan dicuaikan
Dia tidak akan inferiority complex bertemu orang kaya sekalipun dia miskin
Dia boleh bergaul dengan sesiapa sekalipun dia berpangkat dan kaya
Walaupun berhadapan dengan keadaan apa sekalipun, disiplin hidupnya tetap dipertahankan
Syariat tetap dijaga, maruahnya tidak dikorbankan oleh suasana
Di waktu susah atau senang, sikap hidupnya tidak berubah
Di masa sakit atau sihat, sikap hidupnya sama sahaja
Berubah suasana, dia tidak akan mengubah sikap hidupnya
Kata-kata dan penghinaan orang tidak akan menggugat pendiriannya
Keyakinannya tidak akan berubah dengan berubahnya suasana
Dengan Tuhan sangat taat, dengan cara menjaga syariat-Nya
Walau dalam keadaan apa sekalipun
Begitulah orang yang hidup yang ada prinsip
Dia tetap istiqamah di dalam mempertahankan disiplin hidupnya
Kerana rasa bertuhan begitu dijiwainya
Rasa kehambaan subur sekali
Menjadikan dia orang yang ada pendirian
Yang tidak dapat digugat oleh suasana kehidupan
Walau di dalam keadaan apa sekalipun dia tetap dengan prinsipnya
oleh : Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi